Pengertian insan
Manusia dapat ditakrifkan sebagai makhluk yang mempunyai akal, budi atau boleh berfikir dan mempunyai daya upaya. Insan ialah istilah Al-quran yang merujuk kepada manusia yang menyeluruh dan sepadu. Kata insan diambil dari kata uns yang membawa maksud jinak, harmoni dan tampak, kata nasiya yang bermakna lupa, ataupun kata nasa-yanusu yang bererti bergoncang. Walaupun terdapat perbezaan pandangan mengenai asal erti perkataan insan, yang utama ialah menurut M.Quraish Shihab “ kata insan, digunakan dalam Al-Quran untuk menunjukkan kepada manusia dengan keseluruhannya jiwa dan raga”.
Allah telah mengurniakan anugerah yang paling tinggi kepada manusia iaitu akal untuk manusia berfikir bagaimana hendak menguruskan kekayaan sumber sumber ciptaan Allah dengan memerlukan sistem pengurusan yang baik ldan bijaksana serta berhemah. Allah menghubungkan ciptaan-NYA yang berupa sumber-sumber yang mempunyai nilai tinggi sebagai rahmat yang perlu diuruskan sebagai amanah. Allah S.W.T telah menunjukkan menerusi Al-Quran dan mengambil contoh peribadi Rasulullah S.A.W sebagai modal insan yang terbaik supaya menjadi ikutan kita semua.
Pembangunan insan menurut perspektif Islam
Pembangunan dalam Islam adalah keupayaan untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat keseluruhannya sama ada di dunia mahupun di akhirat di dalam satu proses yang harmonis dan dinamis. Fokus utama dalam pembanngunan dalam Islam adalah pembangunan insaniah manusia itu sendiri.
Insan yang hebat penguasaan ilmu pengetahuannya dan berpegang teguh serta menghayati nilai-nilai akhlak yang murni. Sehubungan dengan itu, pembangunan yang cuba diketengahkan oleh Islam adalah pembangunan yang datangnya daripada kesedaran yang tinggi dari umatnya yang saling bekerjasama dan bukannya datang daripada satu kelompok yang kecil. Di samping itu, pembangunan ini juga haruslah mampu untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat.
Pembangunan dalam Islam dijalankan secara dua tahap iaitu peringkat pembangunan kerohanian dan pembangunan peringkat fizikal. Peringkat kerohanian merupakan pembangunan yang paling asas dalam Islam. akal dan jiwa manusia perlu dibangunkan dahulu sebelum sesuatu pembangunnan fizikal dilaksanakan. Ini adalah untuk melahirkan insan yang mempunyai pemikiran yang bersih, suci dan mempunyai pekerti yang mulia.
Terdapat elemen-elemen penting dalam pembanguan insan dari perspektif Islam yang boleh dilihat dengan jelas bertujuan untuk memelihara dan menjaga kepentingan dan keperluan manusia dan terdapat lima ciri – ciri penting yang menjadi ukuran kesejahteraan dan juga kemakmuran manusia. Pembangunan dan pemeliharaan kelima-lima aspek ini merupakam matlamat syariah iaitu agama, akal, diri, keturunan dan harta. Ianya elemen penting dalam diri manusia dan diperlukan sekiranya ingin mengukuhkan nilai peradaban hidup manusia.
Pembangunan insan juga memerlukan akal ataupun mental. Secara semulajadi, semua manusia dikurniakan oleh Allah S.W.T dengan akal fikiran sebagai asas perbezaan antaranya dengan makhluk dan haiwan lain. oleh itu,akal yang dikurniakan oleh Allah perlulah digunakan dengan lebih bijak dan seharusnya dibangunkan dengan betul dan menuju ke arah pencapaian yang lebih baik.
Eleman lain yang berkaitan ialah nyawa, keturunan dan maruah. Elemen – elemen ini merupakan keperluan asasi manusia yang perlu dipelihara dan dibangunkan dalam usaha pembinaan insan. Kerana ianya berkait rapat dengan tujuan untuk memastikan kesinambungan dan kelangsungan kehidupan manusia yang sejahtera, makmur dan mendapat keredhaan Allah S.W.T. Islam sangat mengambil berat aspek kekeluargaan dengan mengatur dan menyusun secara terperinci peraturan – peraturan dalam pembentukan sistem kekeluargaan yang baik.
Moral dan etika boleh dikaitkan dengan istilah akhlak tetapi terdapat perbezaan yang nyata dalam konteks penghayatannya. Istilah “ akhlak “ daripada bahasa Arab dan ada kaitan dengan dua istilah yang lain iaitu istilah “khalik” (Tuhan Pencipta) dan “makhluk” (ciptaan) daripada kata akar yang sama iaitu “khalaka” (mencipta).
Akhlak mencakupi makna moral dan etika iaitu sifat dan perlakuan yang baik, ikhlas , benar dan ianya mesti dipunyai oleh seseorang yang boleh memberi kebaikan kepda dirinya dan juga kepada orang lain disekelilingnya.
Nabi Muhammad sebagai Manusia Bermoral
Nabi Muhammad SAW merupakan seorang manusia yang sempurna ciri akhlaknya. Ini ditegaskan oleh Allah dalam firmanNYA ( al-Ahzab 33:21; al-Qalam4:1546) yang membawa maksud:
‘Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan0 allah dan (balasan baik) hari akhiran, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak ( dalam masa susah dan senang).
Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat-sangat mulia.’
Berdasarkan firman Allah SWT di atas, ianya dapat dirumuskan bahawa Nabi Muhammad SAW penuh dengan sifat diri yang baik dan terpuji. Antara contoh akhlak baginda yang mulia ialah ianya melliputi integriti, kejujuran dan amanah. Sifat jujur dan integriti sebati dalam diri baginda dan diakui ramai sehingga diberi gelaran Al-Amin. Selain daripada integriti dan amanah, baginda mempunyai sifat merendah diri yang sangat tinggi. Baginda menolak sanjungan dan sentiasa mahu berdamping dengan pengikutnyanya tanpa sebarang perbezaan darjat. Satu contoh yang diriwayatkan oleh Al-thabari dalam kitabnya mengenai kisah sebuah perjalanan jauh baginda bersama seorang sahabat, di mana dalam para sahabat telah menawarkan diri secara sukarela untuk mencari kayu api bagi kegunaan bersama. Namun, baginda menjawab dengan berkata, “.... saya tidak suka ada perbezaan di antara saya dan kalian, dalam bekerja, kerana Allah tidak menyukai hamba yang berbeza dengan kawan-kawannya”.
Dalam konteks kelakuan, baginda selalu bersikap terbuka dan mendengar buah fikiran pengikut dengan mengamalkan prinsip syura dalam pengurusan dan pembuatan keputusan. Di samping itu, baginda juga didapati seorang yang lemah lembut terhadap orang lain. ini bermaksud baginda sentiasa bersikap ramah terhadap orang lain sama ada dalam perkataan ataupun perbuatannya, peka dan menjaga emosi orang lain dan tidak suka menyusahkan pengikutnya. Sikap keterbukaan baginda dapat dipelajari daripada kisah menentukan strategi pertempuran perang Uhud. Terdapat dua pandangan tentang lokasi bertempur dan pertahanan, iaitu sama ada dari dalam kota ataupun bertempur di lokasi di luar kota Madinah. Nabi Muhammad SAW dikatakan lebih suka kepada bertempur didalam kota, namun demikian dengan mengambil jira pendapat ahli syura yang lain maka lokasi pertempuran telah ditentukan di luar kota Madinah. Sikap baginda selari dengan perintah dari Allah dalam ayat 159 surah Ali Imran yang bermaksud;
‘maka dengan sebab rahmat ( yang melimpah – limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka (sahabat – sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu, maafkanlah mereka ( mengenai kesalahan yang mereka lalkukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam ( sesudah bermesyuarat untuk membuat sesuatu ) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang – orang yang bertawakkal kepadaNYA.
Dalam konteks pembuatan keputusan, baginda adalah seorang manusia yang sangat adil. Ketegasan baginda dalam menegakkan keadilan dapat dipelajari daripada kisah berkaitan hukuman bagi seorang wanita Bani Makhzum yang terlibat dalam perbuatan mencuri. Baginda telah menyatakan pendirian tegasnya dalam hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a .” sesungguhnyatelah binasa orang – orang sebelum kalian disebabkan apabila ada salah seorang yang terpandang di antara mereka mencuri, mereka membiarkannya begitu sahaja. Akan tetapi, jika salah seorang daripada mereka lemah (rakyat biasa) mencuri, maka mereka menegakkan hukuman baginya. Demi Allah, jika sahaja Fatimah puteri Muhammad mencuri, maka aku sendiri yang akan memotong tangannya!”.
Berdasarkan hadis berkenaan, jelas menunjukkan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah seorang yang sangat objekktif dan tidak mengamalkan sikap pilih kasih dalam menegakkan hukuman yang telah ditetapkan oleh ALLAH.
Baginda bersifat pemaaf dan tidak pemarah walaupun individu berkenaan pernah menzalimi, mengusir, mencerca dan memerangi baginda.
Nabi Muhammad Sebagai Pengurus Moral
Nabi Muhammad SAW diutus dengan tugas dan tanggungjawab tertentu seperti firman Allah dalam surah al-Ahzab 33: 45-46 yang bermaksud: “Wahai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai saksi (terhadap umatmu), dan pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) serta pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar). Dan juga sebagai penyeru (umat manusia seluruhnya) kepada agama Allah dengan taufik yang diberiNya; dan sebagai lampu yang menerangi”.
Dalam konteks tanggungjawab yang diamanahkan itu, Nabi Muhammad SAW sentiasa menunjukkan teladan yang baik kepada umat. Baginda tidak hanya mengeluarkan arahan, sebaliknya baginda sentiasa menjadi orang pertama melakukan amalan yang ingin diarahkan kepada pengikutnya. Justeru pendidikan dan asuhan baginda kepada umat adalah menepati konsep mendidik melalui teladan yang ditunjukkan baginda sendiri. Hal demikian dapat dipelajari daripada contoh pengajaran baginda kepada sahabat tentang cara mendirikan solat seperti sabda yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dari Malik bin Al-Huwairith; “Kerjakanlah solat sebagaimana kamu melihatku mengerjakan solat”. Baginda juga mendisiplinkan pengikutnya secara berterusan bagi mencapai cara hidup yang diredai Allah. Ini selari dengan firman Allah SWT dalam surah al-Syura 42: 52 yang bermaksud: “Dan sesungguhnya kamu benar-benar memberi petunjuk kepada jalan yang lurus”.
Baginda komited dan konsisten menyampaikan segala syariat Allah sekalipun menerima tentangan yang hebat. Ini ditegaskan dalam firman Allah dalam surah al-Maidah 5: 67 yang bermaksud: “Wahai Rasul Allah!, sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu”. Sehubungan itu, baginda sentiasa berperanan sebagai pengurus moral dengan memberi bimbingan, peringatan, panduan dan nasihat yang berterusan kepada umat yang dipimpinnya.
Baginda mengamalkan sikap lemah lembut dan tidak menghina atau mencerca dalam mendidik pengikutnya walaupun mereka membuat kesilapan. Contoh ini dapat diteliti daripada cara baginda menegur perbuatan seorang amil, di mana atas maksud mahu membetulkan keadaan dan memberi pengajaran kepada orang lain, baginda menyebut perbuatan tersebut tetapi tidak menyatakan nama amil yang berkenaan.
Peranan sebagai pengurus moral ini selari dengan sabda baginda dari Tamim Bin Aus ad-Dari : Agama itu nasihat. Kami bertanya, bagi siapa? Baginda menjawab, Bagi Allah, Rasul-Nya, pemimpin kaum muslimin, dan kaum muslimin umumnya. Berdasarkan hadis di atas, didapati Nabi Muhammad SAW telah diamanahkan dengan tanggungjawab pengurus moral yang menyampaikan kebaikan dan kebenaran.
Nabi Muhammad sebagai Hamba Taat
Sifat diri nabi tidak terhad kepada perlakuan terpuji sesama manusia, sebaliknya meliputi ciri yang menjadikan baginda sentiasa terikat kepada Penciptanya. Sifat zuhud, taqwa dan tawadduk adalah sifat diri yang meletakkan diri baginda sebagai hamba Allah yang sangat taat (ubudiyyah).
Sifat zuhud bermaksud tidak terpengaruh dengan tarikan dunia yang sementara dan lebih mengutamakan kesenangan akhirat berbanding kesenangan dunia yang sementara. Sifat zuhud dapat menghindari seseorang manusia daripada sifat tamak dan suka bermewah - mewah. Ia menjadikan manusia sentiasa bersederhana dalam menikmati harta dunia dan tidak terpengaruh dengan sifat tamak yang mengundang gejala seperti rasuah, tipu muslihat dan konflik kepentingan diri.
Sifat zuhud baginda dapat dikenal pasti daripada sabda yang diriwayatkan oleh Malik dalam kitab Al- Muwattha’yang bermaksud: “Seandainya aku memiliki harta sebanyak pepohonan kayu yangmterdapat di Tihamah ini, nescaya aku akan membahagikannya, supaya kamu benar-benar dapati diriku bukanlah seorang yang bakhil, pendusta dan bukan pula seorang yang pengecut”.
Hadis lain yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari : “Kami tidak pernah mewariskan kekayaan. Segala harta benda yang kami tinggalkan adalah sebagai sedekah”.
Sifat tawaduk ialah rasa malu dan sentiasa mengagungkan Allah disebabkan sangat mengenali kehebatan Allah. Seseorang yang tawaduk akan memandang ringan dan remeh segala kehebatan dunia seperti pangkat, harta, status dan kedudukan disebabkan kesedaran tinggi tentang kehebatan Allah.
Sifat tawaduk yang ada pada diri Nabi Muhammad SAW telah menyebabkan baginda sentiasa berbelas kasihan dan melayan baik orang-orang yang lemah, bersahabat dengan rakyat jelata tanpa mengira perbezaan taraf, bergaul mesra dengan masyarakat termasuk fakir miskin dan mengamalkan cara hidup yang sederhana Sifat takwa bermaksud rasa takut terhadap Allah dan didorong juga oleh kenalnya seseorang kepada Tuhannya.
Hal yang demikian dijelaskan oleh Nabi dalam sabda yang diriwayatkan daripada Al-Bukhari dari Aisyah berbunyi: “Sesungguhnya orang yang paling bertakwa dan orang yang paling mengetahui Allah itu adalah aku”. Rasa takwa akan mendorong individu untuk memilih perlakuan yang diizinkan Allah dan meninggalkan segala yang ditegahNya. Menurut Anas bin Malik ; Nabi pernah berkhutbah menyatakan “sekiranya kalian mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya akan sedikit tertawa dan banyak kalian menangis…syurga dan neraka telah diperlihatkan dengan jelasnya kepadaku, maka tak pernah aku mengalami hari sebaik tapi juga seburuk hari ini, kalau sekiranya kalian mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kalian akan sedikit tertawa dan banyak menangis…” Sehubungan itu, ketiga-tiga sifat jiwa yang suci telah mendatangkan rasa ubudiyyah (kehambaan) yang tinggi terhadap Allah.
Namun demikian, pandangan barat adalah berbeza untuk pembangunan moral. Menurut Kohlberg, kualiti alasan moral berkembang seiring dengan tahap pembangunan moral yang dialami individu (Velasquez 2002). Individu yang mencapai tahap pembangunan moral yang tinggi akan memilih perlakuan etika secara konsisten. Ini disebabkan pilihan perlakuan tersebut disandarkan kepada ‘alasan’ yang matang dan tinggi kualitinya.
Terdapat tiga tahap asas dalam pembangunan moral manusia iaitu (Velasquez 2002):
1. Tahap pertama: Pra-konvensional
Pada tahap pra-konvensional, motif moral individu berada pada tahap yang paling rendah. Pilihan untuk mengamalkan etika adalah sematamata kerana takutkan hukuman daripada pihak atasan yang lebih berkuasa, contohnya, takutkan ketua dan hukuman. Ia juga meliputi alasan intrumentalis, di mana dengan membuat sesuatu perlakuan etika maka individu dapat mencapai sesuatu yang disukainya. Contoh dengan mematuhi peraturan maka individu berpeluang untuk dinaikkan pangkat. Dalam keadaan tersebut, tindakan etika telah dilakukan semata-mata untuk membolehkan individu dinaikkan pangkat.
2. Tahap dua: Konvensional
Pada peringkat ini, individu mencapai tahap alasan yang lebih matang. Kelakuan etika dilakukan sebagai menunjukkan kesetiaan dan kepatuhan kepada norma-norma yang dikehendaki oleh kumpulan. Contohnya, melakukan sesuatu tindakan etika kerana ia adalah norma yang diterima dalam organisasi.
3. Tahap tiga: Pasca-konvensional
Pada peringkat ini individu mencapai tahap alasan yang paling tinggi nilai kematangan moralnya. Pilihan perlakuan etika dilakukan semata-mata kerana ia adalah prinsip sejagat yang betul untuk dilakukan tanpa bersandar kepada sebarang alasan lain.
Elemen ubudiyyah adalah alasan yang melangkaui sempadan tahap pasca konvensional. Ini kerana ubudiyyah melibatkan perasaan sedar tentang kedudukan diri yang sangat rendah berbanding satu kuasa yang lebih tinggi (Pencipta). Ia tidak hanya berdasarkan alasan sejagat sebaliknya ia adalah alasan berkaitan hubungan manusia dan Tuhannya. Oleh yang demikian, ubudiyyah ialah satu alasan yang memiliki kualiti tinggi dan mendorong individu untuk beretika secara konsisten. Ubudiyyah menyediakan jawapan sempurna bagi persoalan seperti ‘mengapa individu perlu beretika, apa yang individu dapat dengan bertindak etika dan mengapa perlu mendorong orang lain menjadi etika’. Motif tindakan moral individu akan dikaitkan secara langsung kepada tujuan mengekalkan hubungan baik dengan Tuhan.
Sehubungan itu, kepemimpinan etika syumul yang merangkumi hablun min Allah dan hablun min al-nas dapat diwujudkan dan dikonsep semula sebagai kepemimpinan amar-makruf nahi-mungkar berasaskan prinsip kehambaan kepada Tuhan.
Berbeza dapat dilihat jika hendak dibandingkan dengan model barat, pembangunan moral Nabi Muhammad merangkumi tiga faktor utama iaitu manusia moral (moral person), pengurus moral (moral manager) dan hamba taat (moral vicegerent). Elemen moral vicegerent dapat memastikan elemen moral person dan moral manager dapat direalisasikan secara konsisten. Ini kerana melalui elemen kehambaan (moral vicegerent) justifikasi penaakulan moral ianya melangkaui batas tiga tahap perkembangan kognitif moral yang dapat diwujudkan. Model perkembangan kognitif moral Kohlberg adalah terhad kepada tahap prakonvensional, konvensional dan pasca-konvensional. Namun begitu, melalui model kepemimpinan etika Rasulullah, hubungan manusia dan Pencipta dapat diwujudkan. Hubungan tersebut kemudiannya dapat mengawal manusia dalam melaksanakan peranan sebagai individu bermoral (moral person) dan pengurus moral (moral manager) dengan lebih sempurna.
written by : Rozie binti murad
No comments:
Post a Comment