Definisi Moral
Moral pada dasarnya berasal daripada perkataan Latin “mores’ yang membawa maksud sama seperti etika (Ashmore, 1987). Namun, moral merupakan satu perkara yang lebih merujuk kepada tingkah laku manakala etika merujuk kepada peraturan-peraturan yang ditentukan untuk memperbaiki sesuatu keadaan. Moral juga bersifat praktikal kerana moral merupakan disiplin yang memberitahu apakah sistem moral yang dihayati oleh sesuatu masyarakat dan etika pula bersifat teoretika kerana etika mengkaji, menganalisis dan mengkritik sistem moral tersebut. Perkara ini menerangkan moral merupakan bahan yang dikaji oleh etika manakala etika adalah ilmu yang mengkajinya.
Mengikut kamus Oxford Advanced Learner’s, Edisi keenam, moral bermaksud kesedaran tingkah laku betul dan salah, apa yang perlu dipatuhi dan ditinggalkan serta bersifat praktikal. Moral juga bermaksud sebagai tingkah laku yang sesuai dengan tatasusila atau peraturan masyarakat setempat di mana masyarakat bertindak sebagai penentu. Pertimbangan moral juga bergantung kepada suasana atau keadaan yang membentuk individu contohnya seperti sistem sosial, kelas sosial dan kepercayaan yang dianuti. Kesedaran moral mempunyai hubung kait dengan hati nurani atau dalam bahasa asing disebut conscience, conscientia, gewissen, geweten dan dalam Bahasa Arab disebut qalb, fu’ad. Kesedaran moral ini merangkumi tiga perkara iaitu kewajipan untuk melakukan tindakan bermoral, wujud berasaskan rasional dan objektif iaitu sesuatu perbuatan secara umum dapat diterima oleh masyarakat dan ketiga ialah muncul dalam bentuk kebebasan.
Sebagai contoh, dalam kehidupan bermasyarakat, kesedaran moral dapat mewujudkan masyarakat yang harmoni dan progresif. Hal ini kerana, kesedaran moral yang wujud dalam setiap diri masyarakat dapat memupuk persefahaman, bertimbang rasa, tolong-menolong dan lain-lain nilai yang baik. Perkara ini seterusnya akan membantu dalam melahirkan sebuah negara yang aman dan tenang di mana setiap rakyat akan sentiasa berasa selamat dan sejahtera dengan adanya masyarakat yang mempunyai kesedaran moral yang tinggi.
Contoh diatas jelas menyokong kata-kata Thomas Hobbes yang telah menggambarkan kepentingan hidup bermoral seperti berikut, “Tanpa peraturan sosial (moral), akan wujud satu keadaan konflik yang tidak berkesudahan dan persengketaan yang mengakibatkan kehidupan manusia menjadi jahat, bersifat buas dan angkuh”. (Mohd. Janib Johari, 1994).
written by: Jamaludin nayan
No comments:
Post a Comment