Takrif
Remaja adalah merupakan aset yang penting kepada agama, masyarakat dan negara. Berapakah takrifan umur remaja yang sebenarnya?. Adakah remaja itu diukur mengikut umur hayat dalam bilangan tahun, atau peringkat pertumbuhan dan perkembangan badan manusia? Dalam jiwa masyarakat Inggeris, umur 12 tahun masih dikatakan kanak-kanak, kerana bermula 13 tahun barulah bermula usia remaja. Ini kerana, usia 11 dan 12 disebut eleven dan twelve, tapi 13, 14, 15 sampai 19 semuanya berakhiran -teen. Maka terciptanya istilah teenager di Amerika Syarikat pada tahun 1950-an. Ianya kemudian diluaskan penggunaannya ke seluruh dunia masyarakat berbahasa Inggeris untuk golongan berusia 13–19 tahun.
Dalam Kamus Dewan (Edisi Keempat), "remaja" bermaksud "mulai dewasa, sudah akil baligh, sudah cukup umur untuk berkahwin". Ini berkenaan dengan sifat jasmani, bukan lingkungan usia dalam bilangan. Menurut perspektif Islam tidak dinyatakan istilah remaja secara khusus. Namun golongan ini termasuk dalam kategori pemuda yang seringkali dinyatakan dengan pengertian bahasa Arab iaitu ‘syabab’ atau ‘fataa’. Manakala menurut Fuad Ifrah Al-Bustami (1982) istilah remaja atau pemuda ini membawa erti satu peringkat umur manusia yang bermula daripada akil baligh sehingga menjelang usia akhir 30’an. Daripada statistik Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2012, berdasarkan jumlah 29,336,815 jumlah penduduk Malaysia hampir 50% adalah golongan yang berumur 34 tahun dan ke bawah.
Latar Belakang & Permasalahan
Pembangunan moral insan remaja dalam konteks Malaysia secara bersepadu dan sistematik masih baharu. Pada masa dahulu tiada aktiviti pembangunan dan pembentukan moral insan remaja secara khusus, sebaliknya berkisar terhadap pengalaman bersama keluarga, masyarakat dan institusi pengajian seperti sekolah ‘Pondok’. Perkembangan dan pembentukan moral remaja pada masa dahulu banyak berkisar tentang akhlak dan moral dalam agama seperti agama Islam selain adat resam dan tradisi sesebuah masyarakat.
Mengikut peredaran masa, golongan remaja mula terdedah kepada anasir luar dan gejala kurang sihat bermula seawal era 1960’an hingga 70’an. Sebelum waktu itu, keruntuhan moral adalah sangat kecil dengan kegiatan yang terhad seperti pengambilan candu dan samsu haram terutamanya oleh golongan bukan Islam. Namun apabila dunia muzik mula berkembang di Britain dan Amerika sehingga berlaku konsert mega di Woodstock New York USA pada 15 Ogos 1969, maka tersebar luas melalui muzik ini pengaruh liar seperti penghayatan kehidupan cara ‘Hippies’ iaitu melalui pengambilan minuman keras dan dadah selain daripada pergaulan bebas tanpa ikatan perkahwinan. Anak-anak muda yang dihantar belajar ke luar negara pada era tersebut ramai yang terikut-ikut dengan gaya hidup bebas setelah pulang ke tanah air.
Apabila zaman tersebut berlalu, kini penyebaran dakyah songsang yang bertentangan dengan nilai murni berleluasa dan berlaku di depan mata di atas nama kebebasan dan hak asasi manusia. Ianya diburukkan lagi dengan pengisytiharan era globalisasi melalui konsep dunia tanpa sempadan dengan capaian terhadap pelbagai sumber maklumat tanpa sekatan melalui medium elektronik seperti komputer dan telefon pintar. Tatkala masyarakat mahu membendung, di pihak yang lain mahu diberi kebebasan agar semua pihak dapat sama-sama menilai yang baik dan yang buruk di’momok’kan sebagai keperluan di atas nama pembangunan dan kemajuan. Justeru, itulah nilai dan pengorbanan yang harus kita terima demi mengejar kemajuan dan di atas kepentingan dan keuntungan kepada pihak-pihak tertentu. Ini kerana tiada kajian terperinci oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebelum akses atau capaian diberi, malahan remaja diberi rebet untuk menggalakkan pembelian telefon pintar dan ibubapa pula diminta untuk mengawasi.
Di antara medium digunakan untuk akses kepada dunia tanpa sempadan:
Dalam mengejar arus kemodenan dan demi kelangsungan hidup di abad ke 21 yang semakin mencabar maka ibubapa harus bekerja untuk menampung perbelanjaan isi rumah yang semakin meningkat. Ruang masa yang terbatas untuk bersama anak-anak menyebabkan pemikiran mereka tidak berkembang, kaku, stereotaip dan lebih terikut dengan media dan juga pengaruh rakan sebaya. Ibu bapa banyak yang bekerja sejauh 50-100 kilometer perjalanan dari tempat kediaman, keluar awal pagi dan pulang sehingga lewat petang atau malam kerana kesesakan lalulintas. Berikutan itu, pada hari Jumaat contohnya ramai anak-anak remaja Islam yang tidak hadir ke masjid untuk Solat Jumaat berikutan ketiadaan ibubapa untuk memantau, kerana masalah kenderaan, dan juga dari aspek keselamatan. Akibatnya anak-anak banyak menghabiskan masa bersama rakan dan orang lain selain ibubapa.
Tekanan untuk mengejar kecemerlangan dalam bidang pendidikan demi mendapatkan kerjaya yang baik dalam sektor pekerjaan menyebabkan remaja menjadi ulat buku dan lupa untuk menikmati kehidupan di alam remaja dengan sebaik-baiknya. Ada juga ibubapa atau pihak yang beranggapan tidak mengapa jika pelajar terlibat dengan budaya samseng dan buli di sekolah kerana itu sifat semulajadi dalam menimba pengalaman hidup asalkan cemerlang dalam pelajaran. Oleh itu, kesimpulan yang mereka ambil ialah keruntuhan moral remaja yang ‘sedikit’ itu tidak akan menghalang survival remaja tersebut dalam kehidupan dan kerjaya kelak.
Selain itu, sikap individualistik dalam masyarakat yang menebal juga dilihat sebagai punca keruntuhan moral remaja. Tiada lagi keprihatinan masyarakat terhadap jiran tetangga untuk saling berkenal-kenalan berikutan penghijrahan dan juga jurang sosial yang semakin ketara. Anak-anak remaja jiran tidak boleh ditegur sebarangan kerana ibubapa cepat melenting tanpa usul periksa, tambahan pula ibu bapa mendidik anak-anak mengikut psikologi Barat tanpa menjentik sedikitpun, apatah lagi hendak merotan, jika tersilap berbekas di badan boleh dituduh mendera dan didakwa di mahkamah seperti yang berlaku tehadap pasangan Malaysia di Sweden baru-baru ini. Rumah-rumah banglo dibina dengan tembok tinggi berpengawal menjadikan kunjungan saudara-mara lebih kepada urusan rasmi serta perlu dimaklum terlebih dahulu, sedangkan di kampung-kampung sesiapa sahaja boleh singgah ke rumah jika berhajat. Akibatnya remaja tidak mengenali saudara mara yang jauh dan yang dekat sehinggakan kadangkala orang yang saling bertelagah dan bergaduh di jalanan juga rupa-rupanya bersaudara.
Di antara masalah sosial akibat daripada keruntuhan akhlak dan moral remaja yang dikenalpasti adalah:-
1. Penagihan Dadah
Jadual Perangkaan Sosial Terpilih Jabatan Perangkaan Malaysia 12/2010 kumpulan pengagih dadah mengikut kaum di Malaysia:-
Tatkala bilangan peratusan penagih dari kaum lain sedang menurun kaum Melayu yang rata-rata beragama Islam masih menjadi golongan terbesar penagih dadah. Penagih dadah dalam kumpulan umur remaja dan belia 18-34 tahun adalah merupakan jumlah terbesar iaitu mendominasi 70% daripada jumlah keseluruhan penagih.
2. Lumba Haram (Mat Rempit)
3. Mengikut Budaya Barat
4. Mengambil minuman keras
5. Rogol / Maksiat dan Membuang Bayi
6. Vandalism
7. Jenayah Ragut / Mencuri dan lain-lain kesalahan.
Membangun Moral Insan Remaja.
Pembangunan moral insan remaja boleh dibahagi kepada 2 iaitu pembangunan spiritual individu mengikut cara dan syariat Islam dan juga cara konvensional.
A. Pembangunan spiritual remaja mengikut Perspektif Islam
Akhlak atau moral remaja yang terbaik boleh diambil contoh ialah akhlak Nabi Muhammad Rasulullah S.A.W dinyatakan sepertimana dalam Al -Quran. Dinyatakan bahawa Baginda s.a.w. dikenali sebagai seorang yang jujur dan amanah di kalangan kaumnya, Baginda terkenal dengan hubungan baik, menepati janji, perjalanan hidup mengikut landasan yang lurus dan reputasi baik. Ini menarik minat Siti Khadijah (seorang saudagar) untuk memberi tawaran kepada Baginda bermula seawal usia 12 tahun agar memperniagakan harta dagangannya melalui sebuah kafilah yang pergi ke kota Busra setiap tahun. Oleh itu, setiap amalan murni dan terpuji adalah merupakan sifat-sifat akhlak atau moral Rasulullah S.A.W sehingga baginda digelar Al-Amin di usia remaja.
Manakala Imam al-Ghazali meletakan lima faktor yang boleh membangunkan moral dan akhlak seseorang, iaitu:
(1) Tazkiyyah al-Nafs atau pembersihan jiwa;
(2) Mujahadah atau melawan hawa nafsu;
(3) Melazimi amalan kebaikan;
(4) Membuat sesuatu yang bertentangan dengan akhlak yang buruk; dan
(5) Muraqabatullah atau pengawasan diri terhadap Allah SWT
Pertama Pembersihan jiwa dilakukan melalui al-tahalli ( التحلي ).
Pembentukan jiwa yang bersih dengan Taklif suruhan seperti solat, puasa, tilawah al-Qur’an, zikir, tafakur, mengingati mati, koreksi diri (muhasabah), mendekatkan diri kepada Allah SWT (muraqabah), melawan hawa nafsu (mujahadah), menyuruh kebaikan (amar makruf) dan mencegah kemungkaran (nahi mungkar), serta tawadhuk dan rendah diri juga dapat memberi kesan secara langsung kepada usaha pembersihan jiwa ini. Taklif larangan pula melibatkan proses pencegahan yang bersangkutan dengan tujuh anggota lahir manusia, iaitu mata, telinga, lidah, perut, organ seks, tangan, dan kaki. Ia perlulah dibersihkan daripada perlakuan yang bertentangan dengan syariat Islam.
Kedua, Mujahadah atau melawan hawa nafsu.
Mujahadah adalah melawan hawa nafsu semaksima mungkin sifat mazmumah (buruk dan keji) agar ia menjadi stabil dan dapat diarahkan kepada pembinaan peribadi yang luhur. Imam al-Ghazali memberi perhatian yang sangat mendalam untuk melakukan mujahadah yang berterusan berteraskan kekuatan jiwa yang jitu untuk menghadapi sifat mazmumah tersebut berdasarkan keluasan ilmu pengetahuan dan pengendalian yang berhikmah serta tahap kesabaran yang tinggi.
Ketiga, Melazimi amalan kebaikan.
Membentuk keperibadian insan adalah melakukan amal kebaikan secara konsisten dan berterusan. Setelah melakukan mujahadah, ia perlu disusuli dengan melakukan kebaikan secara berterusan agar ia membentuk suatu kebiasaan yang akhirnya menjadi tabiat kehidupannya. Asas kepada aspek ini adalah melakukan ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat, dan haji; di samping melakukan kebaikan terhadap sesama manusia, alam, dan haiwan.
Keempat, Membuat sesuatu yang bertentangan dengan akhlak yang buruk.
Membuat sesuatu yang bertentangan dengan akhlak yang buruk adalah seperti bersikap sabar daripada sifat marah, amanah daripada khianat, syukur daripada sombong, pemurah daripada kedekut, bodoh daripada belajar, malas daripada rajin, dan lain-lain lagi.
Kelima, Muraqabatullah atau Pengawasan diri terhadap Allah SWT.
Imam al-Ghazali menyatakan bahawa muraqabatullah adalah merasakan diri diawasi oleh zat yang menjaga dirinya dan menumpukan perhatian yang bersungguh-sungguh kepada-Nya.
Kesimpulan daripada Imam Al-Ghazali ialah pencapaian akhlak yang baik adalah hasil daripada gabungan potensi yang disebutkan dengan menanam rasa kecintaan dengan luhur dan ikhlas terhadap Allah S.W.T
B. Kaedah Konvensional
Peranan Ibu Bapa
Sementara itu kaedah yang biasa diguna adalah melalui pembentukan moral insan remaja adalah bermula daripada ibu bapa dan keluarga. Kajian mendapati peranan kasih sayang daripada ibubapa dan keluarga memainkan peranan yang penting dalam pembentukan moral remaja. Sekiranya kurang kasih sayang menyebabkan remaja tersisih, manakala anak remaja yang terlebih kasih sayang dan ‘ditatang bagai minyak yang penuh’ juga akan berhadapan dengan masalah jika tidak pernah ditegur. Oleh itu, kasih sayang yang dicurahkan eloklah seadanya dan ke arah membina sahsiah dan moral remaja tanpa meminggirkan nasihat, teguran dan hukuman jika perlu. Ibubapa juga seharusnya mengambil tahu dengan siapa anak remaja mereka berkawan, prestasi pembelajaran dan juga kecenderungan untuk memudahkan pemantauan dilakukan.
Terdapat konflik dalam diri manusia, iaitu satu pertembungan antara tuntutan dan kehendak mereka dengan nilai-nilai dari ajaran agama dan norma-norma sosial. Ini berdasarkan kepada hakikat penciptaan mereka dan kehidupan mereka di alam maya ini yang bersifat sementara dan penuh dengan cubaan dan dugaan. Justeru, ibu dan bapa seharusnya memahami hakikat ini agar strategi dapat diatur bagi memastikan bahawa anak-anak memiliki kesihatan jasmani. Malahan yang lebih penting iaitu mereka mempunyai kesihatan jiwa yang akan dizahirkan dalam perbuatan yang mencakupi perkataan (tutur kata) dan pemikiran.
Ibu bapa juga hendaklah sentiasa memantau setiap aktiviti dan pergerakan anak-anak mereka.Hal ini penting bagi menjamin disiplin anak-anak agar mereka tidak mudah terpengaruh dengan penyakit sosial yang kian berleluasa. Antaranya ialah melepak dan ponteng sekolah. Ibu bapa perlu sentiasa bertanya keadaan mereka di sekolah dan mengambil tahu setiap perkara yang mereka lakukan. Janganlah bersikap lepas tangan terhadap perkara seperti ini.Justeru, pemantauan daripada ibu bapa amat penting dalam merealisasikan impian mereka untuk menjadikan anak-anak mereka orang yang berjaya. Sekiranya institusi keluarga dijaga baik dengan menerapkan nilai-nilai murni dan kasih sayang yang tinggi ini, dapat mengelak berlakunya perpecahan dalam keluarga yang boleh memberi kesan negatif kepada anak-anak.
Peranan Masyarakat
Masyarakat lahir daripada gabungan anggota-anggota keluarga. Sebagai anggota masyarakat, terutama sekali yang telah diberi amanah dan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin seharusnya mampu melaksanakan tugas dan amanah tersebut melalui masyarakat. Kejayaan seseorang mengurus masyarakat dapat diukur melalui kejayaan-kejayaan yang telah dicapai dari segi membebaskan masyarakat daripada gejala sosial dan galakkan kerja-kerja kebajikan.
Masyarakat khususnya ketua-ketua kampung dan ketua kumpulan masyarakat harus memainkan peranan untuk memulihara hubungan dalam komuniti kerjiranan melalui rukun tetangga, ahli kariah surau dan masjid bagi memastikan anak-anak remaja diberi peranan dan tanggungjawab terhadap sesuatu contohnya kebersihan halaman surau. Oleh itu mereka tidak akan dapat menghabiskan masa terluang dengan melepak dan melakukan perkara tidak bermoral. Remaja juga harus digalakkan menyertai pelbagai program yang boleh dianjurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) seperti pertandingan sukan bolasepak dan sebagainya. Melalui pelbagai program yang dijalankan walaupun nampak remeh tetapi boleh membina jatidiri dan ukhwah di kalangan penganjur, peserta dan penonton yang terlibat. Daripada perkenalan serta persahabatan ini maka masyarakat akan lebih perihatin dan tidak lagi timbul isu tidak bertegur sapa atau marahkan jiran. Bak kata pepatah ‘tak kenal maka tak cinta’
Sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai bangsa dan agama, adalah menjadi tanggungjawab kita bekerjasama untuk memelihara hubungan baik tersebut. Hal yang demikian kerana, permusuhan dalam kalangan bangsa dan agama yang berlainan akan membawa padah yang berat dan berpanjangan. Oleh sebab itu, umat Islam digalakkan untuk bermuamalah dengan cara yang harmoni. Perlu ada sifat menegur kesilapan dan memberi nasihat dalam anggota masyarakat bagi mewujudkan sebuah masyarakat yang bertamadun dan juga untuk mewujudkan masyarakat yang bersedia untuk ditegur dan menegur antara satu sama lain.
Peranan Kerajaan
Kerajaan memainkan peranan yang penting dalam membangunkan moral remaja. Banyak kegiatan anjuran badan-badan kerajaan boleh disertai bagi semua peringkat umur dengan melibatkan aspek kebudayaan, kesenian dan agama khusus untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dan masyarakat seperti pertandingan memancing, memasak, sukaneka dan pameran kreatif, program-program berbentuk latihan kemahiran, perniagaan, pengurusan serta pencegahan dan pemulihan.
Langkah yang di ambil oleh negara dengan mensasarkan pencapaian pembangunan ke arah menuju Wawasan 2020 menurut acuan dan bentuk tersendiri turut mencetuskan kecenderungan bagi melahirkan modal insan terbaik, juga menurut ciri-ciri yang khusus dan bersesuaian dengan keperluan negara. Sememangnya modal insanlah yang menjadi tumpuan penting dalam perancangan pembangunan dan kemajuan kerana ia merupakan tenaga penggeraknya. Remaja inilah yang menentukan setiap langkah dan hala tuju digagaskan dan perancangan dilaksanakan. Berasaskan peranan penting modal insan inilah maka Islam memberikan penekanan lebih utama terhadap pembangunannya berbanding dengan pembangunan dari aspek fizikal.
Kerajaan telah memperkukuh kerjasama industri dan penyelidikan di dalam bidang pendidikan dengan:-
• Memberi lebih autonomi kepada universiti dan memperkukuh budaya berprestasi tinggi;
• Memperkukuh kurikulum kursus pengajian bagi menyeimbangkan kandungan akademik dan soft skills; dan
•Melantik dan mengekalkan staf akademik yang terbaik.
Program-program yang sedang berjalan dan bakal dibangunkan oleh kerajaan adalah seperti :
Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang merupakan kursus latihan wajib selama tiga bulan di Pusat Latihan PLKN seluruh Malaysia bagi sesetengah daripada mereka yang terpilih apabila menamatkan pendidikan sekolah menengah di Malaysia atau berumur 17 tahun ke atas. Ia bertujuan bagi pembinaan sahsiah diri bermatlamatkan membina dan mengukuhkan semangat patriotisme kalangan generasi muda, memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional dan membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni. Program ini bukanlah bersifat Kerahan Tenaga dan tidak mengikut mana-mana model daripada luar kerana dilaksanakan menurut cara Malaysia.
Modul-modul latihan Khidmat negara yang diterapkan kepada para perserta adalah:
• Modul fizikal yang dilaksanakan untuk membina kemahiran dan ketahanan mental, emosi, spiritual dan fizikal bagi menjadikan peserta Program Latihan Khidmat Negara sebagai warganegara yang berkesan.
• Modul kenegaraan diperkenal untuk memperluaskan pengetahuan tentang kenegaraan (nation-building) dan meningkatkan perasaan cinta serta pengorbanan kepada negara.
• Modul pembinaan karakter untuk membina karakter yang berkesan bagi para peserta yang merangkumi diri, keluarga, komuniti dan negar
• Modul kesukarelaan untuk memberi kesedaran dan jatidiri yang kukuh dan padu perlu dijanakan dalam diri setiap individu untuk menyuburkan kekuatan serta keyakinan diri.
Selain itu, diwujudkan juga program 1M4U yang merupakan satu inisiatif dari kerajaan untuk menggalakkan lagi penyertaan para belia dalam aktiviti kemasyarakatan di Malaysia. Dengan adanya inisiatif ini diharap para belia dapat memanfaatkan peluang yang sedia ada untuk berbakti dan memberi sumbangan kepada Negara. Kerajaan Malaysia telah mengiktiraf bahawa belia Malaysia boleh membantu serta memainkan peranan penting dalam membentuk Malaysia menjadi destinasi yang lebih baik untuk hidup, bekerja dan bermain.
Dalam usaha untuk menangkap imaginasi belia demi memberikan inspirasi dalam merealisasikan impian tersebut, kempen 1Malaysia Untuk Belia (1M4U) diwujudkan bagi menjalankan aktiviti berkaitan sukarelawan. Aktiviti tersebut bertujuan memberikan manfaat kepada masyarakat dan kumpulan sosial yang disasarkan dalam kempen berkenaan. Menerusi kempen ini, 1M4U akan sampai kepada individu sama ada kolektif atau pun tunggal, pertubuhan bukan kerajaan dan sektor korporat dengan menyelaras usaha menggalakkan kesukarelawanan dari golongan belia.
Tujuan utama 1M4U adlah untuk mengembangkan semangat cintakan negara dan kesukarelawanan dikalangan belia di seluruh Malaysia. Pihak kerajaan menganggarkan 1M4U akan memberikan motivasi kepada belia untuk sama-sama terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan.
Diwujudkan juga Dana Belia 1Malaysia sebagai platform untuk membantu dari aspek kewangan bagi golongan belia menyalurkan bakat dan tenaga mereka ke arah pembangunan belia di negara ini. Dana Belia menawarkan peluang kepada para belia untuk merealisasikan impian mereka, membina aspirasi yang selama ini menjadi kebanggaan: sebuah negara yang menyatukan rakyat tanpa mengira darjat dan kaum, serta maju sebagai rakyat yang bersatu padu.
Selain itu, portal web 1Klik [1 Malaysia Klik] diwujudkan oleh Kementerian Penerangan untuk semua golongan terutamanya remaja dan belia bagi memberikan penerangan tentang profil negara, portal pembelajaran, dasar-dasar kerajaan serta maklumat berkaitan kenegaraan yang termaktub dalam Perlembagaan bagi menjelaskan kekeliruan akibat daripada penyebaran maklumat yang kurang tepat oleh blog dan laman web yang cuba merosakkan dan mengganggu gugat keharmonian serta kesejahteraan negara.
Kerajaan juga melalui Kementerian Belia dan Sukan juga merancang untuk menubuhkan Parlimen Belia Malaysia yang bertujuan memberi peluang kepada 80 peratus belia yang btidak berpersatuan untuk bersuara bagi mewakili belia-belia di peringkat akar umbi dalam memberi pandangan terhadap pembangunan belia negara. Peranan dan fungsi Parlimen Belia Malaysia disasarkan sebagai platform kepada belia menyuarakan idea dan pandangan hampir menyamai Parlimen Belia di kebanyakan negara-negara maju seperti Australia, United Kingdom, New Zealand dan Negara-negara Eropah
Peranan Badan Bukan Kerajaan / Korporat
Selain itu badan bukan kerajaan atau syarikat korporat juga boleh turut serta membina moral dan akhlak remaja contohnya seperti mengadakan kem bimbingan semasa cuti sekolah dan menubuhkan pusat-pusat kegiatan sukan Futsal di mana remaja boleh bersukan dan melakukan kegiatan riadah. Kempen dan ceramah diadakan tentang bahaya dadah boleh dilancarkan oleh mana-mana pihak untuk menyedarkan remaja kita tentang kebahayaan dadah. Pihak berkuasa seperti Polis juga patut dijemput untuk memberi ceramah tentang jenayah yang berkaitan dengan remaja di sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi. Pada masa yang sama, pihak berkuasa ini boleh memberi amaran keras terhadap sesiapa yang berniat untuk melanggar undang-undang negara.
Undang-undang
Undang-undang yang berkaitan dengan salahlaku dan gejala moral harus dipreketatkan lagi agar usaha pembangunan moral tidak terbantut. Dengan adanya undang-undang yang baik tetapi pelaksanaan yang lemah juga tidak akan membantu kita dalam menghapuskan gejala ini. Oleh itu, pihak berkuasa harus sentiasa mengadakan pemeriksaan dan pemantauan dari semasa ke semasa untuk menghalang gejala buruk daripada berleluasa seperti pengedaran dan pengambilan dadah jenis pil khayal yang banyak berlaku berhampiran dengan balai-balai polis di bandar-bandar utama seluruh negara. Kegiatan ini seolah-olah mencabar undang-undang. Ketakutan untuk melakukan kesalahan disisi undang-undang akan membuatkan remaja sentiasa mengikut peraturan dan kawalan terhadap perlakuan mereka lebih mudah serta senang mendengar nasihat.
Akta Kanak-Kanak 2001 (Child Act) – Akta 611 serta Rang Undang-Undang Jenayah Malaysia digubal bagi menangani kes pembuangan bayi serta pennderaan terhadap kanak-kanak yang dapat menjamin keselamatan dan kesejahteraan keluarga. Pesalah yang terlibat di dalam kes ini akan dikenakan hukuman yang setimpalnya.
Tindakan keras perlu diambil supaya aktivitinya dapat dibendung. Langkah yang radikal boleh diambil oleh kerajaan dengan secara perlahan-lahan mengurangkan penyiaran filem berunsur ganas dan jenayah. Undang-undang yang ketat menerusi tindakan kerajaan akan mampu menyedarkan pelajar bahaya pembabitan di dalam aktiviti gengsterisme. Kesepaduan kementerian-kementerian termasuklah Kementerian Pelajaran, Kementerian Penerangan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat boleh mengubah persepsi ke atas pelajar yang sering dilayan secara negatif kebelakangan ini akibat tindakan atau kelakuan segelintir pelajar berisiko.
Sekolah & Institusi Pendidikan
Pendidikan bertujuan melahirkan individu yang seimbang daripada aspek intelek, rohani,emosi dan jasmani. Potensi intelek perlu diperkembangkan kerana seseorang perlumempunyai kemampuan untuk berfikir secara logik dan rasional; membuat keputusan dengan tepat dan menyelesaikan masalah dalam kehidupannya secara bijaksana
Sehubungan itu pelbagai tahap modal insan perlu dikeluarkanmelalui sistem pendidikan bagi mengisi petak pekerjaan yang sesuai bagi pembangunannegara. Malaysia pada hari ini lebih mengutamakan modal insan atau pekerja ilmudalam bidang sains dan teknologi. Tenaga kerja yang berpendidikan tinggi dalam sainsdan teknologi perlu supaya setaraf dengan negara lain. Harapan diletakkan kepada parapelajar lepasan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau institusi pengajian tinggi swasta IPTS) dalam mengaplikasikan pengetahuan serta pendidikan yang mereka pelajari apabila berada di alam pekerjaan nanti. Tenaga kerja ini dilatih terlebih dahulu supaya menguasai kemahiran mengguna peralatan teknologi seperti teknologi ICT. Dalam pelaksanaan Model Baru Ekonomi, pendidikan diberikan keutamaan untuk menangani masalah ketidakseimbangan dalam masyarakat dengan menyediakan peluang pendidikan yang sama untuk semua kaum.
Pendidikan adalah sebagai medium untuk berlakunya mobiliti sosial untuk mencapai matlamat Model Baru Ekonomi Kerajaan juga telah mengadakan pelbagai program pendidikan untuk siswazah yang menganggur. Ini salah satu program yang baik supaya tiada antara bekas siswazah yang tercicir dalam menyumbangkanidea, tenaga dan usaha untuk meningkatkan lagi mutu pembangunan negara. Dapat dikatakan bahawa perkembangan pendidikan di negara ini berlangsung sejak dari zaman dahulu lagi dan berkesinambungan hingga sekarang. Walaubagaimanapun dengan cabaran yang berubah selaras dengan peredaran zaman, pendidikanterus mengalami perkembangan. Fungsi pendidikan juga terus berubah. Fungsi pendidikan kini dilihat sebagai asas untuk kelangsungan sesuatu pembangunan
Untuk mempercepat penambahbaikan prestasi pelajar secara berkesan, berterusan dan menyeluruh, kerajaan tidak akan hanya memberi tumpuan kepada pembangunan fizikal tetapi akan lebih menumpukan kepada aspek yang memberi impak besar kepada prestasi pelajar seperti kualiti guru dan kepimpinan di sekolah. Selaras dengan pengalaman pelaksanaan sistem pendidikan terbaik dunia dan keperluan untuk menghasilkan peningkatan prestasi pelajar yang signifikan empat strategi akan diguna pakai iaitu:
• Memastikan setiap kanak-kanak boleh berjaya. Menetapkan harapan yang tinggi kepada semua pelajar tanpa mengira latar belakang dan menyediakan bantuan dan sokongan yang sistematik terutama kepada mereka yang ketinggalan dalam pembelajaran;
• Menjadikan sekolah bertanggungjawab terhadap prestasi pelajar. Memberikan autonomi kepada beberapa aspek pengurusan sekolah sebagai ganjaran ke atas peningkatan signifikan pencapaian pelajar;
• Membuat pelaburan bagi membangun kepemimpinan unggul di setiap sekolah. Membuat pelaburan yang besar bagi meningkatkan prestasi kepimpinan sekolah sebagai pemangkin utama perubahan menerusi kriteria pemilihan yang ketat, latihan dan pengurusan prestasi yang mantap berdasarkan prestasi pelajar;
• Meningkatkan daya tarikan profesion keguruan dan menghasilkan guru terbaik. Menjadikan profesion keguruan lebih menarik supaya lebih ramai individu berkebolehan tinggi berminat menyertainya, meningkatkan kualiti latihan praktikum, dan memantapkan pengurusan prestasi serta pembangunan profesional bertaraf dunia yang berterusan.
written by: Norhisham Bin Puteh @ Arif & Zuriana Binti Kechek











No comments:
Post a Comment